Karisma Tun Aminah @ Tok Probhu Sepanjang Zaman
Atas keanehan beberapa kisah kekeramatan Tok Temong, eloklah dirakamkan disini serangkai catitan, walaupun apalah ia dapat diterima ataupun ditolak oleh para berjurusan akademik sebagai perkara “karut”. Bolehlah dikatakan suri keturunan ‘Muntah Lembu’ ini ada karismanya tersendiri, ‘berkuasa ajaib’(?), dan apalah seperti disebut-sebut orang di perkarangan istana, sehingga sekarang, sebagai seorang PAWANG DIRAJA YANG LUAR BIASA dan kekeramatannya senantiasa mengawali keselamatan Istana Negeri Perak; sambil Tun Siti Aminah binti Tun Perak @ Tan Prabhu @ Tok Perobu @ Tok Temong itu menjadi Puan Pemerintah seluruh desa kawasan Temong asal.
Berbagai peristiwa luar biasa telah berlaku di Temong mengenai pantang larang bagi masyarakat di Perak. Sesuatu darinya adalah mereka tidak boleh menjejaki kawasan (Mukim Temong) disekitaran permakamam Tok Temong tanpa tatatertib yang bersesuaian. Dalam hal itu, telahpun menjadi adat larangan bagi sekalian Raja-raja Perak, kerabat-kerabat diraja dan orang-orang besar, tatkala hendak menziarahi mahupun melintasi disekitaran Makam Tok Temong, mereka tidak boleh:-
* Memasang bendera atau menaikkan panji-panji kebesaran. Lambang-lambang darjat termaksud mesti diturunkan/ditanggalkan.
* Bagi kaum wanita, dilarang memakai tudung (selendang) di jembala. Kain itu mesti dibalutkan atau diikat kepinggang.
* Payung-payung biasa mahupun ubor-ubor kebesaran negeri juga dilarang terpasang (dibuka) untuk kegunaan berlindung dari cuaca mahupun mematuhi adat istiadat. Tidak kira apalah diraja mahupun orang-orang kenamaan; apatah lagi masyarakat bawahan (“Orang kebanyakan”).
Tiap-tiap seorang Raja Yang Dipertuan Perak yang sudah bertabal, acara adat yang terutama bagi mereka ialah melawati sekalian tempat permakamam almarhum Raja-raja Pemerintah Perak yang berada di dalam negeri. Sebelum melawat makam-makam diraja itu, Raja Yang Dipertuan mesti terlebih dahulu menziarahi MAKAM TOK TEMONG, sesudah itu barulah menghilir berbalai gambang*( ) sampai ke Beting Beras Basah. Tatkala memasuki kawasan (perbatasan) Mukim Temong, kelengkapan diraja itu mesti berhenti seketika dan melaksanakan pantang-larang yang tersebut sebentar tadi. (Adat-istiadat termaksud hanya dikehendaki untuk melawat Makam Tok Temong sahaja).
Contoh-contoh peristiwa di Mukim Temong:
Ada beberapa peristiwa pembuktian yang aneh dan tetap berlaku sekiranya pantang-larang itu tidak dipatuhi. Misalnya:-
<> Pada suatu hari, almarhum Paduka Seri SULTAN IDRIS ISKANDAR *( ) ingin bermudek bermain-main di hulu Sungai Perak. Tatkala baginda sampai ke perbatasan Temong, baginda yang sangat mengetahui pantang-larang adat itu telah menitahkan seorang awakmotorbot peranginan baginda menurunkan (bendera) panji-panji diraja. Sang awak itu sesungguhnya sama juga sedar atas adat yang termaklum, tetapi dia sememangnya nakal dan dikasihi Raja. Maka dia berpura-pura melakunkan penurunan bendera diraja sambil melindungi keengkaran titah itu dari kelihatan diraja. Tiba-tiba dengan tidak semena, jentera motorbot itu terus mati dan tidak boleh dihidupkan semula. Gempar segala awak-awak. Kenderaan diraja itu menghanyut kehilir mengikut arus Sungai Perak.
* Maka disoal Baginda kepada sang awak yang nakal itu: “Nir*( )... udah kamu turunkan bendera tu tadi?” Jawab sang awak: “Harap diampun.... bendera terlekat Tuanku!” Maka kata Raja, “Hei, pembohong benor kamu ni ya!...’Dah aku katakan, turun... mengapa kamu tak turunkan? Kamu nak uji benor-tidak pantang-larangnya tu ya? .... Ha terimalah!....Inile pasainya!” Maka tersipu-sipu sang awak itu lalu dengan pantas menurunkan bendera diraja. “Hmmh”, lafaz baginda, “Tak ada apa-apa penyakit enjin tu..”.
* Disaat-saat itu juga, dititah baginda Idris suruh menghidupkan sekali lagi jentera motorbot. Enjin bot yang telah disiasati tidak rosak itupun terus hidup seperti sediakala. Maka tertawalah belaka*( ). Dalam geli-gelihati, baginda membaca-baca doa dan seruan cuca*( ) salam sambil berangkat disisi tebing Makam Tok Temong, mudek lancar menuju ke arah ampangan Cenderuh*( ) dengan tiada apa-apa lagi kejadian dan kerosakan.
<> Juga berlaku satu keanehan lagi berkenaan pantang-larang ‘Tok Temong’ yang penulis sendiri menempuhi dalam sebuah kisah ‘bermain di Sungai Perak’ bersama almarhum Paduka Seri Sultan Idris II. Kejadian ini berlaku dalam bulan September 1977. Pada suatu Ahad, almarhum menitah penulis mengiring baginda dalam bot pecut (‘speed boat’) berangkat berkelah di kawasan Ampangan Cenderuh kerana ‘K.E.D.’*( ) hendak melepaskan air ampangan. Ikan-ikan kesukanan seperti ikan Toman, ikan Patin dan Kelah akan terkeluar dari terowong-terowong perairan ampangan itu. Para penyambut telah mendirikan khemah-khemah pesta berkelah ditebingnya. Semasa memudek baginda telah mematuhi segala syarat Tok Temong. Tatkala hari menjelang petang, almarhum masih bersuka-ria di Cenderuh dan ada pula ketua-ketua mukim yang mempersembahkan kisah-kisah rusa dan gajah yang mengasyikkan baginda sehinggalah kami tertunggu-tunggu sampai larut senja.....
* Penulis dipelawa memperingatkan almarhum oleh Serang bot baginda yang khuatir hari sudah menjelang malam. Baginda tersenyum dan menyuruh kami tunggu sebentar lagi kerana ketua-ketua kampung enggan melepaskan baginda yang dikasihi mereka itu: “Harap dek ampun....Berhutang rindu Tuanku....patik-patik tak pueh lagi...mohonlah tunggu apalah seminit-lima lagi!”
* Sesampai kami dekat dengan Pangkalan Tok Temong, tiba-tiba sahaja jentera (enjin sangkut) bot pecut itu mati!
Tertiah Baginda Idris:
“Hah! Apa pulak kehnya ni? Apa gamaknya salah aku kali ini Brahim”?*( ). (Dibalas Serang Ibrahim): “Harap dek ampun....rasa-rasa patik “Orang Tua” tu risau Kebawah Duli berlegar sampai ke senja tadi!”
* Bot diikatkan ke pangkalan Tok Temong sambil Serang Ibrahim membaca-baca selawat, membakar kemiyan dengan bara rokoknya dititah almarhum. Enjin bot itu disuluh periksa.
Baginda berpaling kepada penulis : “Hah Kobat...berani kamu ikut Ayah ke Makam Temong?” ...
“Harap dek ampun...Kalau Ayah berani, patikpun turut berani juga Tuanku!” ... Tetapi sebenarnya, penulis sudah kecut-kecut perut ketakutan!
* Kami menaiki tangga-tangga tebing, terus baginda apakala sampai keatas, berdiri tercegat menghadap ke Makam Tok Temong. Diambil Baginda secebis kemiyan dipasangnnya rokok lalu dibakarnya kemiyan itu. Rokok pun di padamkan. Dalam gelap gelita itu Baginda didengar berbisik-bisik entah apa yang diserunya.
* Tidak berapa sa'at kemudian, entah secara kebetulan sahaja mahupun sebaliknya, kami terdengar beberapa ekor burung pungguk berbunyi-bunyi, lalu disahut oleh saekor burung hantu. Lepas itu kunang-kunang banyak datang berlegar-legar disisi kami dua berkepanakan sampailah menjadi remang-remang terang tangga pengkalan itu.
* “Hmm, udah tu, moh kita turun Kobat!”
Kamipun turun dalam penyuluhan cahaya kunang-kunang itu. Baru setangga dua terdengar jentera bot terbatuk-batuk lalu menjadi lancar...
“Daulat Tuanku!” laung Serang Ibrahim.
Sambil turun, sempat penulis bertanya kepada baginda: “Apa yang Ayah cucakan tadi?” ...
“Hei, itule Kobat, kamu patut lama dah belajor... .adatnya kalau tak mintak, mampueh tak guru memberi!”
“Harap dek ampun, udah lama dah patik hajatkan, tapi tak berani nak mintak”.
“Hiss kamu, ~ Ayah ni bukannya naga!”
Penulispun terus memohon ilmu baginda sedikit.
“Nanti kita sampai di Istana, bulehlah Ayah turunkan;”
Bertertiah pula Baginda Idris : “ Tok Temong tu bukannya kamu tak tahu Kobat, kalau dengan Ayah ni, cepat benor dia murka, tak boleh salah sikit...Hah(!)... Diapun menegor le!”
<> Pada suatu peristiwa yang lain pula, almarhum Raja Muda AHMED SHIFUDDIN ISKANDAR*( ) berangkat secara rasmi ke kawasan Temong kerana perkenan menyerikan persandingan seorang daripada jejuaknya. Diceritakan oleh baginda konon baginda mengutamakan niat kepentingan terhadap upacara perkahwinan itu daripada mendahului menyeru salam tatkala melintasi perbatasan Mukim Temong. Namunpun baginda tidak memasang bendera (panji-panji) Raja Muda, dan tidak memasangkan payung, baginda berbeluk menuju ke Makam Tok Temong seperti adatnya. Entah apa yang tersilap atas lafaz-lafaz baginda,tatkala baginda turun dari kereta di Makam Tok Temong, kaki kanan baginda terbenam ke dalam tanah yang lembik kelecahan setakat tulang kering. Yang amat mengejutkan sekalian dalam rombongan kecil peribadi baginda Raja Muda itu ialah, bak diceritakan oleh mereka kemudian: “Hujan tidak, basahpun tidak, dalam cuaca yang kering-kontang itu, entah macam mana kereta Tuanku buleh elok-elok saja berhenti ditempat itu. Tiadapun lecah kelihatan kerana tanahnya pada waktu itu keras dan kering!”*( )
<> Peristiwa yang keempat berlaku dalam zaman Sultan Azlan Shah*( ) menyabitkan kematian seorang Orang Besar Enambelas*( ) yang bernama HAJI TAIB *( ). Allahyarham berhajat hendak melawat Makam Tok Temong selepas beliau memegang gelaran. Dalam kegairahan suasana riang gembira, tiada barang siapa yang mengiringi allahyarham itu terlintas memperingati atas adat pantang-larang Tok Temong. Dengan secara kebetulan, tatkala rombongan itu sampai ke Makam Tok Temong, hujan renyai-renyai. Maka diambil payung biasa lalu dibuka oleh seorang pengikut dan dipayungkan bagi pelawat khas itu. Beberapa minggu selepas itu, Haji Taib tiba-tiba sahaja uzur dan justeru sebulan-dua meninggal dunia.
<> Peristiwa kelima berlaku dalam tahun 1993. Ada dua sahabat pergi memancing ikan ditebing Makam Tok Temong. Mereka bukan orang tempatan Mukim Temong. Satelah sampai di luar pagar Makam Tok Temong, mereka menyimpan kereta dibawah pohon kayu ditapak letak kereta di permakaman. Mereka turun berjalan kaki ke pengkalan “Tok Temong” mengikuti tangga simen. Tiba-tiba mereka terpaksa melompat menyelamatkan diri kerana kereta mereka itu seolah-olah ditolak oleh kuasa ghaib terus menurun mengikuti tangga, sampai terjunam di curam tepi tangga itu. Menurut laporan Polis, kereta itu sah terkunci dan tiada apa-apa kesan membuktikan manusia biasa yang mendajali sang pemancing. Tuan punya kereta takut menarik keretanya lalu ditinggalkan sahaja disitu. Kereta tersebut masih ada lagi terjunam ditebing Pangkalan Tok Temong sampai ke tahun 1994 yang pernah dilihat oleh penulis sendiri. Entah apalah salah niat yang tersirat dihati dua sahabat yang pergi memancing itu.
Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah peri-kekeramatan Suri Kalur @ Tok Temong yang berkuasa mutlak dijajahannya, sampaikan Raja dalam negeripun tidak boleh berlalu-lintas di kawasan kediamannya tanpa tertib “menegur”*( ) dan meminta izin kepadanya terlebih dahulu. Yang anehnya, “rang undang-undang” peraturan itu masih kekal sampai masa terkini.. Menurut lagendanya, kenaraan Tun Perobu itulah yang membuatnya selaku Raja yang dipertuankan di Temong sampai sekarang.
Bagi memahami apa yang disebut-sebut "Keramat " di dalam Nota ini, ~
Sila rujuk kepada Nota di laman Page EKS yang berkait ~
have u been to this place engku? its interesting to know about this area...wish to go there one day and see it !
ReplyDeleteOf course I've been to the mystic Grave ~ many many times. It's located on the left bank of the Perak River .. in the Mukim of Temong, Kuala Kangsar District. (About 15 minutes away from Jambatan Iskandar heading towards Sauk & Kati). The old bridge adjoins the left and the right banks of the Perak River along the old K.K'sar-Sg.Siput-Chemor-Ipoh main road.
ReplyDeleteTok Temong is so powerful sampai kan Sultan pun have to give her so much respect..simply mystical and astonishing...
ReplyDeleteassalamualaikum engku...makam Tok Temong orang biasa boleh pergi ziarah tak?
ReplyDeleteMa'af saudara !! Saya tak perasan sdr Witchunter ada datang "memburu" maklumat !!!
ReplyDeleteBarangsiapa pun BOLEH pergi menziarah Pusara Tok Temong. Tetapi kehadiran nya di perkarangan makam Tok Temong itu ampunya pantang-larang yang MESTI dipatuhi:~
(1) Sesiapa pun TAK BOLEH mengembangkan payung/ubur-ubur walaupun hari terik mahupun hujan.
(2) Wanita TAK BOLEH memakai tudung, NAMUN perlu menggunakan selendang yg kena di ikat di pinggang nya.
(3) Bendera/panji-panji namunpun cuma kain yg tersirat melambangkan diri peribadi mahupun kelompok/persatuan dan/atau parti politik(!) TIDAK BOLEH dipasang/dikibar.
terima kasih atas maklumat tersebut
ReplyDelete