 |
Budayawan
RAJA KOBAT SALEHUDDIN |
Oleh Raja Kobat Salehuddin
Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa
Tatkala seorang Raja Pemerintah itu mempunya isteri yang kedua dan isteri itu juga bergahara penuh mahu pun separuh gahara, wanita itu biasanya akan bergelar Raja Permaisuri.
Apakala sudah pun Raja Pemerintah menggelar dan meletak seorang Raja Perempuan ke atas takhta dan singgahsana, tidak boleh Raja Permaisuri itu pula juga dinaikkan martabat dan darjatnya dan diberi hak berkedudukan di takhta kerajaan. Ini berimplikasi bahawa hanya seorang sahaja yang diperakui dan dirasmikan sebagai Suri Singgahsana. Oleh itu, Raja Permaisuri tidak disembah kerana dia bukannya Suri Singgahsana. Taraf dan darjat isteri kedua ini adalah lebih sedikit dari tingkatan Raja Kecil Besar sahaja, iaitu, tidak pula ke paras Raja Di Hilir.
Bagi wanita yang tidak mempunyai zuriat diraja, seperti yang tersebut sebentar tadi, tidak layak di sisi adat dikararkan sebagai 'RAJA Perempuan' mahupun "RAJA Permaisuri", atau lagi diraja-rajakannya demi membolehkan wanita itu menduduki di sisi suaminya di atas singgahsana.
Adat telah meletakkan taraf bagi ‘Suri Negeri’ yang bermartabat rendah dari yang tersebut di atas tadi hanya boleh ditegur secara “Tengku”, tetapi pangkat dan tarafnya bergelar “PERMAISURI” sahaja (yakni, bukan Raja Permaisuri) dan beliau itu:~
1. Tidak boleh didudukkan di singgahsana.
2. Tidak boleh disembah.
3. Tidak boleh dipersebutkan sebagai Tuanku.
4. Tidak boleh diperbahasakan “patik” oleh orang-orang bawahan dan sebagainya. Pengakuan mereka terhadap Permaisuri adalah secara berbahasakan diri sebagai “hamba Tengku”. Anak-anak raja sekaliannya membahasakan diri kepada Permaisuri cuma secara “saya”*.
5. Tidak boleh dinobatkan secara jawatan atau gelarannya atas apa-apa jua sebab yang berkait dengan kedudukannya sebagai “Permaisuri”.
[ Sila rujuk juga perihal ‘Tengku’, ‘Engku’, ‘Payung’ dan ‘Tuan’ di dlm artikel "ADAB PERTUTURAN DI PERKARANGAN ISTANA NEGERI PERAK "]
Ini berimplikasi hanya seorang “Raja” sahaja yang akan ketara bersemayam di atas singgahsana. Perihal tersebut adalah bersabit dan sudah menjadi adat semenjak kerajaan Srivijaya di Palembang lagi, mematuhi adat resam zaman berzaman.
Walaupun demikian, ia tidaklah bermakna bahawa seseorang “Permaisuri” itu akan jatuh maruah kemasyarakatannya mahu pun kemuliaannya; malah mematuhi resam zaman silam, sememang sudah menjadi adat seseorang Raja Yang Dipertuan itu dialu-alu mempersuntingi wanita dari kerabat orang-orang golongan bangsawan demi memekatkan darah persaudaraan di antara Raja dengan sida-sida yang baik-baik.
Orang-orang Besar Negeri biasanya amat mengasihi Raja Pemerintah yang ada seorang “Permaisuri” dari golongan orang-orang kebanyakan. Wanita itu dalam teorinya, sudah tentu akan memahami perasaan mereka kerana wanita itu adalah dari golongan mereka. Maka lebih mudah para pembesar sekaliannya menyayangi dan merasa senang dengan sang Permaisuri. Kepada Permaisuri itulah tempat mereka mengadu nasib dan membisik-bisikkan nasihat “demi kebaikan negeri”. Di dalam sejarah Perak dan Melaka sungguh banyak terkisah Raja-Rajanya yang mempunyai Permaisuri yang lebih dimuliakan daripada Raja Perempuan, oleh itu sering berlaku sang Permaisuri itu amat berpengaruh dari dalam kamar peraduan diraja!
__________________________________
Nota kaki: Penulis artikel ini, YM RAJA KOBAT, telah memberi izin dan ehsannya kepada Tetuan Blog SEMBANGKUALA untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka
WOW...i really like the new layout of your blog..nice font ! congratulations!
ReplyDeleteTQ Nita Mypieceofcake .. oops(!) Microsoftwords .. oops (!) ..Mypizzaword .. ooooops(!) Oh well , I guess I'll get use to pronouncing your "piece-of-worms" (ooops!) properly soon ... eventually !!!
ReplyDelete